MCC Malaysia Mencapai Skor QLASSIC Tertinggi Dalam Sejarah

 

KUALA LUMPUR: Syarikat pembinaan, MCC Overseas (M) Sdn Bhd (MCC Malaysia) telah merekodkan skor 89 peratus untuk Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) bagi pembinaan The Face 2 Platinum Victory Suites.

Ia mencatat skor tertinggi di dalam sejarah untuk kategori bangunan kediaman bertingkat tinggi sejak diperkenalkan pada 2007, melangkaui skor tertinggi sebelum ini pada 86 peratus.

Pengarah Urusan MCC Malaysia, Li An Wei berkata, penilaian itu melibatkan proses yang ketat dan teliti membabitkan lebih 600 bahan dan 300 unit yang dipilih secara rawak.

QLASSIC ialah piawaian industri pembinaan yang diperkenalkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk mengukur, menilai dan meneliti kualiti kerja pembinaan bangunan mengikut keperluan Standard Industri Pembinaan.

Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, ia merupakan penanda aras bagi projek pembinaan untuk memastikan projek pembangunan mematuhi semua piawaian kualiti kerja dan jaminan melalui proses penilaian yang ketat.

“Saya percaya bahawa pencapaian ini akan menjadi contoh dalam industri ini selain menjadi pemangkin kepada semua pemaju dan syarikat pembinaan untuk menitikberatkan kualiti dalam mutu kerja untuk semua projek pembangunan mereka,” beliau berkata demikian semasa sidang media majlis penyampaian anugerah QLASSIC kepada MCC Malaysia.

Tambah beliau, sistem QLASSIC juga dapat membantu pembeli rumah mengenalpasti kualiti kediaman sebelum membuat sebarang pembayaran.

The Face 2 Platinum Victory Suites adalah kondominium mewah 51 tingkat yang dibangunkan oleh Platinum Victory Property dan telah disiapkan pada Julai 2022. Dengan jumlah 1,025 unit, ia dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk kolam infiniti dengan pemandangan bandar Kuala Lumpur.

(source: www.buletintv3.my)